Ada kalanya, ada orang yang sudah lama
bercinta ataupun mengikat tali kasih, akhirnya ternyata tidak
ditakdirkan untuk dapat bersama. Pelbagai sebab yang terjadi yang
menyebabkan gagalnya melangkah ke pelamin.
Bagi menutup rasa kecewa, seorang daripada mereka mungkin berkata, “Apabila kamu bahagia, aku juga bahagia.”
Tetapi benarkah perkataan itu ikhlas dan
murni dari hati, atau sekadar penyedap keadaan? Selalunya mulut berkata
kuat, tetapi hati masih tidak dapat menerima.
Dihadapan dia boleh tersenyum ceria, tetapi di rumah dihujani air mata.
Apabila berhadapan keadaan sebegini,
teruskan melangkah dan mempersiapkan mental bagi menghadapi kenyataan.
Pada awalnya memang sukar.
Tetapi, sekiranya kita terus berusaha
sedaya upaya, kita juga berani berkata dengan tulus dan murni dari hati,
“Apabila kamu bahagia, saya juga pasti akan bahagia, Insya Allah.”
Adakah kita berani berkata sebegitu?
Saya percaya, ia bukan soal berani atau
tidak, tetapi ia berkenaan cara kita menerima kenyataan. Sekiranya
sekadar berkata-kata, semua orang mampu mengungkapkan.
Namun, komitmen dan perjuangan yang luar
biasa diperlukan bagi menerima kenyataan dengan ikhlas. Selain itu
diperlukan juga keyakinan yang teguh kepada takdir-Nya.
Atas dasar itu, sikap husnuzon atau berbaik sangka kepada-Nya perlu sentiasa tertanam dalam dada.
Semoga Kamu Bahagia, Ucapkan “Barakallahulaka”
Ini adalah ucapan termanis dan terindah
sewaktu kita menghadiri majlis perkahwinannya. Tunjukkan jiwa besar kita
dengan mengucapkan Barakallahulaka.
Ia adalah ucapan yang mulia dan penuh dengan doa.
Apabila Uqail bin Abi Thalib berkahwin dengan seorang wanita dari Bani Yasir, Al-Hasan berkata, “Semoga kamu berbahagia dan mendapat ramai anak.”
Uqail menjawab, “Ucapkan sebagaimana Rasulullah s.a.w berdoa, ‘Semoga Allah SWT memberi dan menjadikan kamu bahagia..‘”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Nasa’ie.
Rasulullah tidak mendoakan mereka mendapat banyak anak, sebaliknya
mengucapakan Barakallahulaka – Semoga keberkatan daripada Allah SWT
dilimpahkan kepada mereka berdua.
Selepas memberanikan diri dan berkata “Apabila kamu bahagia, aku juga bahagia”, seterusnya adakah kita berani berkata Barakallahulaka?
Sekiranya mampu, pasti lebih baik.
Tetapi sekiranya tidak sanggup dan hati
masih belum mampu menerima, usah dipaksa. Usah pula mulut kita berkata
barakallahulaka, tetapi air mata berhamburan dipipi setiap masa.
Lisan kita berkata, “Aku bersedia menghadapi realiti”, tetapi hati kita masih menyimpan beban trauma.
Oleh itu sahabatku, berusaha menerima kenyataan dengan penuh kebesaran jiwa, kematangan peribadi dan sikap dewasa.
credit to : akuislam.com