Dalam episod cinta takdir sering menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa dia tidak setia? Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang menerima nasib begini?
Kita merasakan kitalah yang paling
malang. Hanya mulut mengaku Allah itu Tuhan tetapi mengapa dengan
takdir-Nya kita enggan? Semacam terlupa kata peneguhan di dalam al hadis
dan Al Quran bahawa besarnya masalah, beratnya ujian dan hebatnya
cabaran… berkadar terus dengan kekuatan iman.
Inilah hakikat yang mesti menjadi
pegangan dalam menghadapi tragedi cinta di dalam rumah tangga. Tragedi
cinta menjadi ujian iman dan tauhid sesetengah kita. Setiap orang ada
medan ujiannya masing-masing. Dan untuk isteri yang teruji dengan
pasangannya, sematkan di dalam dada… bahawa itulah takdir yang dipilih
oleh Allah untuk menguji keimanan kita.
Bukankah sudah diungkapkan oleh sejarah,
ada isteri yang baik diuji dengan suami yang jahat seperti Siti Asiah
isteri kepada Firaun laknatullah. Bujukan Allah cuma satu, bergembiralah
dengan pahala di sebalik ujian itu. Tenanglah dengan jani-janji syurga.
Ini bukan ‘escapeism’ tetapi itulah iman. Yakinlah, bahawa cinta yang
lebih besar sedang menguji cinta yang lebih kecil. Cinta Allah sedang
menguji cinta kita kepada isteri atau suami.
Dan jika cinta yang kecil itu rapuh,
jangan pula cinta yang lebih besar itu roboh. Percayakan janji-janji
Allah di akhirat adalah penawar paling mujarab untuk menghadapi
keperitan ujian hidup di dunia. Ketika disiksa menjelang kematiannya,
Siti Asiah hanya memohon kepada Allah untuk mendapat rumah di dalam
syurga. Jadi usah dikorbankan akhirat kita hanya kerana dipersiakan oleh
cinta kita di dunia.
Bagaimana sekiranya, cinta kita sudah
dipersiakan? Pasangan kita seolah-olah menjadi ‘orang lain’. Bukan dia
yang kita kenal dahulu. Apakah ketika itu kita akan jadi panasaran?
Habis segala laci, meja tulis, kereta atau begnya kita selongkar.
Telefon bimbitnya, email, facebook dan apa sahaja milik peribadinya kita
bongkar. Mencari dan menghidu kalau-kalau terdapat bukti kecurangannya.
Siang malam diamuk gelisah. Kita bagaikan dirasuk.
Pada saat genting itu tekanlah butang
‘pause’. Bertanyalah pada diri, apakah kita masih menaruh harapan? Jika
jawapannya masih ya, maka nyalakanlah harapan itu – keep hope alife!
Berusahalah untuk memperbaiki diri. Dakap cinta Allah erat-erat. Moga
perubahan itu membuahkan harapan yang akan merubah pasangan kita.
Tempuhlah jalan-jalan yang baik dan
dibenarkan oleh syariat untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba membasuh
najis dengan air najis. Maksudnya, jangan gunakan jalan yang salah untuk
membetulkan kesalahan pasangan kita. Nanti keadaan akan bertambah
buruk. Terimalah takdir itu dahulu. Jangan mungkir. Kita tidak mungkin
dapat mengawal arah tiupan angin, tetapi kita masih mampu mengawal
kemudi pelayaran.
Setelah berusaha sehabis daya…
istirehatkan hati dan minda. Cuba tenangkan perasaan. Dia bukan
segala-galanya dalam hidup yang singkat ini. Harapkan yang terbaik
tetapi bersedialah menghadapi yang terburuk. Jika terpaksa kehilangan
cinta itu bukan bukan bermakna kehilangan segala-galanya.
Kredit to Genta Rasa.com
No comments:
Post a Comment
Jom Mengomen...